Jumaat, 20 Disember 2013

USRAH


USRAH




Definisi dan Konsep
Perkataan usrah berasal dari kalimah Arab, (الأسرة ( yang bermaksud keluarga. Manakala menurut Kamus Dewan Bahasa Dan Pustaka, keluarga bermaksud kaum, saudara mara, kaum kerabat, sanak saudara atau pun ia disebut sebagai Famili. Di dalam kamus al-Munjid Fi al- lughatu Wa al-A’lam adalah mufrad kepada (أسر ) iaitu satu kumpulan yang mempunyai hubungan yang kukuh.

Manakala dari segi istilahnya pula, usrah bermaksud kumpulan atau individu atau mukmin yang beriman dengan agama Islam, berusaha dan tolong- menolong di antara satu sama lain untuk memahami dan menghayati Islam berdasarkan kepada perintah Allah di dalam surah al-Maaidah ayat 2 yang bermaksud “ Dan hendaklah kamu bertolong-tolong untuk membuat kebajikan dan bertakwa dan janganlah kamu bertolong-tolong dalam membuat dosa (maksiat) dan pencerobohan. Dan bertaqwalah kepada Allah, kerana sesungguhnya Allah Maha Berat azab seksaan-Nya (bagi sesiapa yang melanggar perintahnya).

Pembentukan Usrah yang pertama yang dilaksanakan oleh Rasulullah s.a.w ialah di rumah al-Arqam bin Abi –Arqam. Rasul mengajar mereka yang hadir setiap ayat Quran yang diturunkan. Baginda juga menekankan proses pembinaan sifat-sifat luhur seperti baik hati,amanah, bertanggungjawab, bercakap benar, berani dan sebagainya di dalam diri para sahabat.Jelaslah di sini bahawa ‘usrah’ bukan sahaja tempat untuk menyampaikan atau mendapatkan ilmu, malahan ia merupakan tempat untuk sesama ahli kumpulan membincangkan sesuatu masalah yang timbul dan juga tempat untuk membentuk peribadi dan sahsiah ahli usrah dan bertolong-tolong apabila ada ahli yang ditimpa kesusahan. Usrah juga merupakan satu medium dakwah untuk berdialog mengenai Islam secara dinamik

RUKUN USRAH


1. Taaruf. Taaruf bermaksud berkenalan secara mendalam hingga menimbulkan kasih sayang dengan tujuan al-hubbufillah. Firman Allah: Maksudnya: Sesungguhnya orang-orang mukmin itu bersaudara ....." Dan Sabda Rasulullah s.a.w., maksudnya: “Orang yang beriman dengan orang yang beriman yang lain laksana satu binaan, saling kuat menguat antara satu dengan yang lain”. Sabda Rasulullah s.a.w., maksudnya: Kami mengasihi saudara kerana dia adalah saudara pada jalan Allah. Di samping itu sikap mahabbah mesti dibuktikan dalam amalan dan penghayatan bukan sekadar teori semata-mata. At-Taaruf ialah kenal mengenal dari bab mufa'alah (daripada dua belah pihak) salbi dan i-jabi (memberi dan menerima)--kenal yang benar-benar, tahu selok-belok tentang saudara kita, supaya kita membuat dan bertindak untuk mengarah sesuatu yang sesuai dengannya.

2. Tafahum. Tafahum maksudnya bersefahaman. At-tafahum daripada bab mufa'alah juga, bertujuan supaya usrah membuahkan suatu sikap, satu tindakan daripada sama-sama faham, sama-sama beramal iaitu sama-sama menjalankan perintah Allah, tunduk kepada kebenaran, muhasabah diri, muhasabah sama-sama jemaah dan disusuli dengan nasihat menasihati antara saudara (ad-Dinul nasihah). Awas jangan sama sekali nasihat menasihati ini menimbulkan apa-apa perasaan yang tidak senang kepada satu sama lain, baik yang memberi atau menerima, cuba renungkan hadith di atas. 

3. Takaful. Rukun ini merupakan dasar membela nasib sesama sendiri, supaya jangan ada orang yang terbiar atau terlantar nasibnya tidak terbela. Maksud rukun ini ialah anggota usrah hendaklah mengambil berat masalah-masalah yang dihadapi oleh saudaranya. Takaful ini merupakan pancaran pekerti yang dilahirkan daripada keimanan, dan merupakan inti sari daripada ukhuwah yang murni.

Sabda Rasulullah s.a.w., maksudnya: Sesungguhnya seorang kamu pergi menunaikan sesuatu keperluan saudaranya lebih baik baginya daripada beriktikaf di masjid aku selama sebulan. Dan sabdanya lagi, maksudnya: Sesiapa yang telah memasukkan kegembiraan iaitu menghilangkan kesusahan dan kesukaran kepada keluarga muslim, maka Tuhan tidak melihat balasan kepada selain syurga. Inilah gambaran besar atau kecilnya at-takaful dalam Islam bagi rukun usrah ketiga
.

Salam Ukhuwah Fillah Abadan Abada
Ukhti NurFisabilillah




Tiada ulasan:

Catat Ulasan